Korban PKPU Merentasi Negara


Buat pertama kalinya, Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU) Jabatan Perdana Menteri berjaya mengadakan program ibadah korban sempena Idul Adha pada tahun ini merentasi negara. Program yang dinamakan Ekspedisi Kasih dan Korban Ke Kemboja ini berlangsung pada 29 November hingga 2 Disember 2009. Program ini mendapat kerjasama dari Global Peace Mission (GPM) Malaysia, sebuah NGO yang bernaung di bawah ABIM dan Cambodian Muslim Intellectual Alliance (CMIA) iaitu sebuah NGO yang bergerak aktif membantu masyarakat Islam di Kemboja.
 

Ekspedisi ini disertai seramai 24 orang rombongan dari PKPU dan 3 orang mewakili GPM dan diketuai oleh Ketua Pengarah Jakim, Dato’ Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abd Aziz selaku Penasihat PKPU.


Program ini adalah merupakan projek percubaan untuk PKPU meninjau sendiri aktiviti ibadah korban yang dilaksankan untuk membantu masyarakat Islam yang daif di Kemboja. Pelbagai program telah diatur sepanjang ekspedisi ini termasuk mengadakan majlis korban bersama penduduk di beberapa buah kampung terpilih di Kemboja seperti di Kampung Thom, Kampung Chnang, dan lain-lain. 
 

Selain itu ahli ekpedisi sempat juga mengadakan  majlis kunjung hormat ke pejabat Mufti Kemboja dan Kedutaan Malaysia di Kemboja.

Peluang ini turut diambil dengan mengadakan majlis silaturrahim dan dialog bersama NGO-NGO muslim di Kemboja yang turut dihadiri oleh Ahli-ahli Parlimen yang mewakili masyarakat Islam Kemboja.

Ahli ekpedisi juga menziarahi beberapa buah masjid dan sekolah agama di kemboja dan melihat sendiri sistem pendidikan masyarakat Islam di sana.

Selain itu, ahli ekspedisi juga menziarahi mangsa kebakaran di Sangkat Chrang Chamres II yang memusnahkan hampir 300 buah rumah dan melibatkan 400 orang mangsa. Kesempatan ini diambil oleh pihak Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Yayasan Taqwa MAIWP yang turut menyertai ekspedisi ini untuk menyampaikan sumbangan berjumlah RM18000.00. Sumbangan disampaikan oleh Ketua Pengarah Jakim kepada 243 buah keluarga yang menjadi mangsa kebakaran tersebut.

 Apa yang pasti, hasil ekspedisi 4 hari 3 malam ke Kemboja ini banyak pengalaman baru yang diperolehi oleh ahli-ahli ekspedisi disamping melihat sendiri nasib saudara seagama yang hidup di negara umat Islam minoriti dan kesan-kesan daripada kekejaman rejim Pol Pot di Kemboja. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.


Klik
FOTO GALERI

Disediakan oleh : user
Tarikh : 07-12-2009
Hits : 434