Pengharaman Yoga Bukan Sekadar Mentera


Pengharaman Yoga Bukan Sekadar Mentera

Oleh : Zakaria bin Othman


Kita bersyukur dengan nada tegas pemimpin kita terhadap beberapa pihak yang mempertikai fatwa pengharaman yoga yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan (JKF) baru-baru ini. Penegasan ini sekurang-kurang meredakan sedikit bahang bantahan beberapa NGO yang diketuai oleh Sisters In Islam dan kroni-kroninya.


Namun begitu, sesetengah kita ternyata masih keliru dengan penggunaan mentera dalam yoga. Mereka cuba mengasingkan senaman yoga dan mentera. Lalu membuat justifikasi : Senaman yoga tanpa mentera adalah halal. Ini kerana amalan berkenaan sekadar amalan fizikal yang membawa kebaikan untuk kesihatan pengamalnya.


Bagi saya, kenyataan ini mendatangkan kekeliruan dan perlu dibincang secara ilmiah agar semua pihak jelas dengan sesuatu hukum berkaitan. Sebenarnya, isu yoga bukan sekadar kebergantungan kepada mentera dan produk kesihatannya, tetapi senaman ini terdiri dari pelbagai instrumen keagamaan Hindu. Buktinya,'Sesungguhnya tempat duduk diri adalah hati ....sesungguhnya secara bertahap sampai ke realisasi ini naik ke langit..Inilah yg disebut diri. Ia abadi. Ialah Brahma. Sesungguhnya ada tiga sukukata : Sat - ti - yam ..” ...Disini ada benteng bernama Aparjitah ; dan ada apartmen emas Tuhan ....' (Sila rujuk The Chandogya Upanishad hal. 288 - 289)


Di dalam kitab Upanishad disebutkan : “Tuhan meliputi semua diameter syurga. Dia lahir dari keabadian. Dia ada di dalam rahim. Dia telah dilahirkan dan akan dilahirkan” - Upanishad 424.


Berdasarkan keterangan di atas, jelaslah kepada kita bahawa senaman ini berasal dari kepercayaan Hindu. Ia bukan sekadar kedudukan biasa. Sebaliknya mempunyai prinsip teologi tersendiri dalam agama Hindu. Pengamalnya melakukan senaman sedemikian berdasarkan kepercayaan demi mencapai sesuatu maksud tertentu. Walau dilihat dalam bentuk duduk atau senaman, namun formasi berkenaan sinonim dengan ritual keagamaan Hindu.


Jika jelas senaman atau formasi yoga sinonim dengan keagamaan Hindu maka umat Islam ditegah dari mengamalkannya. Ketentuan ini berdasarkan sabda Nabi SAW : 'Man tasyabbaha bi qaumin fahua minhum” (Bargsiapa yg menyerupai sesuatu kaum, maka seseorang itu terdiri dari kalangan mereka ) (kaum berkenaan).


Illah penyamaan di dalam hadis ini merujuk kepada asal usul fahaman, perbuatan dan pegangan. Jika ada sebarang perkataan, perbuatan dan pegangan seseorang muslim menyerupai doktrin Yahudi, Kristian, Hindu, Budha dan lain-lain ia dikira sudah tergolong ke dalam golongan mereka. Dan penyamaan dalam bentuk kepercayaan disusuli dengan perbuatan secara langsung merupakan perbuatan haram yang ditetapkan secara ijmak.


Hadis ini juga secara tidak langsung menggambarkan kepada kita bahawa umat Islam perlu kekal dengan identiti dan jatidiri mereka sebagai muslim. Mereka dilarang dari menyerupai golongan musyrikin disebabkan akidah seseorang muslim itu terangkum tiga dimensi iaitu perkataan, perbuatan dan pegangan.


Justeru pada pandangan saya, jika umat Islam tidak membaca mentera sekalipun tidak semestinya yoga itu halal. Ini kerana formasi dan senaman yoga merupakan simbolik yang sinonim dengan doktrin kepercayaan Hindu. Dan Islam menegah umatnya dari melakukan acara-acara yang berteraskan kepada kepercayaan agama-agama lain.


Disamping itu, ada juga pihak yang cuba menghalalkan yoga atas alasan ia merupakan produk kesihatan untuk pengamalnya. Hujah ini boleh disanggah dengan beberapa kriteria :


1) Asal usul yoga adalah dari keagamaan Hindu. Samada ia diamalkan sedikit, juzuk tertentu atau sebahagian ia tetap haram kerana Islam tidak membenarkan umatnya menyerupai upacara keagamaan lain. Dalam hadis yang sahih, Nabi SAW bersabda : “ Perkara yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas...” Jika senaman ini jelas berlatarbelakangkan keagamaan Hindu, mengapa pula ia ingin diamalkan oleh orang Islam? Bolehkah umat Islam mencantum pengangan Islamnya dengan amalan Hindu? Jawabnya, tidak sama sekali. Sabda Nabi dalam hadis yang sahih : “Barangsiapa yang melakukan tokok tambah dalam urusan kami (agama) nescara tertolak.”


2) Kaedah feqhiyyah menyebut : “Asal pada percakapan (kalam) adalah hakikat.” Oleh itu, marilah kita sama-sama memahami apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan yoga?


Kamus Dewan (Edisi Keempat) menyatakan yoga ialah sistem falsafah Hindu yang bertujuan menyatukan diri dengan tuhan dengan mengheningkan fikiran (seperti dengan bertafakur) melalui beberapa senaman gerak badan dan fikiran.

Ia juga membawa maksud senaman pelbagai cara untuk menenangkan fikiran, seperti bertafakur, terutama satu siri senaman gerak badan yang bertujuan mewujudkan keadaan badan dan fikiran yang sihat.

Menurut sebuah ensiklopedia, yoga merujuk kepada disiplin tradisional berkaitan fizikal dan mental yang berasal dari India; matlamat yang dicapai melalui disiplin ini; dan satu dari enam fahaman ortodoks (astika) dalam falsafah Hindu. Istilah yoga dalam bahasa Sanskrit, berasal dari kata yuj, memberikan banyak makna seperti mengawal, menggalas dan menyatukan. Terjemahannya termasuk bergabung, bersatu, kesatuan, penghubung, jalan atau cara. Yoga dikatakan mempunyai beberapa cabang, antaranya Raja Yoga, Karma Yoga, Jnana Yoga, Bhakti Yoga dan Hatha Yoga. Sebenarnya, banyak teks Hindu membincangkan aspek yoga, termasuk Veda, Upanishad, Bhagavad Gita, Hatha Yoga Pradipika, Shiva Samhita dan pelbagai Tantra.


Kesimpulannya, jika anda mengetahui hakikat yoga sinonim dengan Hindu itu diharamkan, anda pula dilazimkan dengan kaedah : “Sesuatu yang haram dilakukan, haram pula untuk dituntut.” Atau : “Sesuatu yang haram diambil, haram pula untuk diberikan.” Atau : “Apabila berhimpun perkara yang halal dan haram, maka dimenangkan yang haram ke atas yang halal.” Kaedah-kaedah ini boleh digunapakai merangkumi perbuatan yang sedikit, juzuk tertentu atau sebahagian dari pengharaman berkenaan.


Justeru, kandungan mantera sahaja bukan menggambarkan indikasi keseluruhan yoga. Dalam Islam, sesuatu hukum diputuskan tidak diambil secara juz’iyyah sahaja. Bahkan turut merangkumi keseluruhan sesuatu pengertian. Oleh itu, mentera dan amalan kesihatan bukanlah alasan untuk menghalalkan yoga.


Saya bimbang masyarakat kita ramai yang terbabas dalam masalah ini. Masyarakat yang tandus dengan agama mudah sahaja menyimpulkan sesuatu perkara dengan rasionalisme mereka. Akhirnya, mereka cuba memahami yoga melalui pendekatan liberal. Asal rasional, ia dilihat baik, maka ia dibolehkan. Mereka sebenarnya lupa dengan kaedah : 'Matlamat tidak menghalalkan cara'.


Ketahuilah, bahawa yoga tidak boleh ditetapkan dengan unsur rasional akal semata-mata. Jika anda menetapkan sesuatu berdasarkan rasional akal semat-mata, ternyata anda mendahului akal berbanding naqal. Penetapan ini dijelaskan oleh Imam al-Syafi'ie : “Manis tahsana faqad syarrak' (Barangsiapa yang menganggap baik sesuatu perkara (yang tidak jelas) dia sebenarnya telah meletakkan hukum syarak). Penetapan hukum secara sebegini ditegah di dalam Islam kerana anda telah mendahului penetapan nas syarak.


Selain itu, senario menghalalkan sesuatu yang jelas haram juga boleh dikatakan sebagai satu tokok tambah dalam agama. Mana-mana amalan yang direkacipta tidak berdasarkan ketentuan syarak. Bahkan bertentangan dengan petunjuk syarak dikira sebagai rekacipta yang sesat atau bid’ah dholalah. Amalan tersebut diaggap bid'ah dholalah (rekacipta yang sesat) kerana ia bukan dari Islam. Bahkan bertentangan dengan Islam. Justeru, dalam kes ini, umat Islam wajib menjauhi amalan yoga serta merta kerana ia bukan dari Islam dan bertentangan dengan Islam. Tidak hairanlah jika Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengeluarkan fatwa mengenai yoga, dengan mengklasifikasikannya sebagai perkara bidaah yang menyesatkan.


Sedarlah bahawa Islam sebuah agama yang lengkap dan sempurna. Ia menawarkan pelbagai produk untuk kesihatan manusia sama ada dari sudut fizikal, mental, mahupun spiritual. Tetapi apabila manusia gagal memahami dan mengenali Islam dengan mata hati yang suci dengan pendekatan yang baik. Maka pemahaman Islam mereka dicampuri dengan pelbagai unsur luar. Dan akhirnya terjebak dengan pelbagai amalan karut yang bertentangan dengan Islam itu sendiri dalam keadaan tidak sedar. Lebih menyedihkan apabila ada pihak yang menubuhkan kelab eksklusif dan lain-lain berasaskan yoga dan menjadikannya sebagai sumber pendapatan rezeki. Apakah kita mahu rezeki yang mengalir dalam urat nadi kita itu dari sumber yang haram? Fikirkanlah.


Saya juga bimbang dengan trend masyarakat kita hari ini. Apabila sesuatu fatwa diputuskan terhadap sesuatu perkara maka akan ada kelompok masyarakat yang bangun memberontak. Mereka terdiri dari pelbagai peringkat. Pertama, golongan bukan Islam yang tidak memahami Islam. Kedua, golongan Islam yang memahami Islam secara liberal. Ketiga, golongan sarjana Islam yang cuba memanipulasi isu mengikut selera hawa nafsu mereka.


Golongan ini tidak segan silu melaungkan penentangan terhadap fatwa yang diputuskan ulamak berdasarkan kepada kajian mendalam. Mereka yang bersikap seperti ini persis pemimpin jahiliyah kuno. Apabila sesuatu keputusan Allah dan RasulNya dilihat bersesuaian dengan mereka, mereka mendabik dada bangga. Tetapi apabila sesuatu keputusan bertentangan dengan selera nafsu mereka, mereka mencari pelbagai alasan menentang keputusan berkenaan. Oleh itu, umat Islam perlu sedar akan situasi ini bahkan semua pihak perlu bangkit mempertahankan indentiti dan jati diri Islam.


Saya meneliti beberapa pandangan masyarakat di dalam akhbar mengenai yoga yang diharamkan. Agak lucu apabila ada di antara mereka yang menyatakan bahawa mereka beramal dengan senaman yoga, melakukan beberapa amalan di dalam senaman tersebut seperti membakar colok, membaca mentera dan pergerakan yoga, tetapi hati mereka tetap percaya kepada Allah dan mendakwa akidah mereka masih utuh dan tidak terpesong sama sekali. Sebenarnya, mereka telah mempersekutukan Allah dalam keadaan mereka tidak sedar. Inilah natijahnya apabila umat Islam dangkal mengenai pegangan ilmu Tauhid.


Sebagai muslim, sepatutnya kita harus bersyukur kerana masih ada ulamak dan agensi agama yang mengambil berat soal pegangan akidah umat Islam. Kita harus menyokong sesuatu hukum yang sememangnya bertujuan untuk menjaga maslahah umum. Tidak ada satupun hukum yang dikeluarkan untuk mengongkong hak manusia. Sebaliknya setiap hukum yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan terdiri dari kalangan mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidangnya. Keputusan sesuatu hukum yang dikeluarkan adalah untuk kebaikan ummahnya. Kecuali bagi mereka yang mengenal agama dengan mata hati yang buta sahaja tidak jelas dengan semua ini.


Akhirnya saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang bertindak secara proaktif menjalankan kajian terhadap amalan yoga ini sehingga berjaya dibentangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan baru-baru ini. Walaupun keputusan ini mendatangkan pelbagai reaksi yang tidak enak, tetapi sebenarnya JAKIM telah berjaya menyentak pemikiran masyarakat dengan hukum-hukum kontemporari yang berani.


Dalam menangani isu ini, kita perlu bijak bertindak. Muzakarah di peringkat negeri perlu disegera dan diwartakan fatwa berkenaan dalam bidang kuasa masing-masing. Pewartaan pula membolehkan kita menguatkuasa undang-undang berdasarkan enakmen sedia ada. Sekaligus mereka yang membantah fatwa ini juga boleh dihadapkan ke muka pengadilan. Kita perlu bertindak dari sekarang. Jangan sampai isu ini dimanipulasi oleh pihak tertentu yang akhirnya membawa kepada keracunan kepada masyarakat. Mudah-mudahan Allah membantu kita ke arah memartabatkan agamaNya dari sebarang pencemaran dan penyelewengan. Wallahu’alam.


Penulis ialah :

Exco Penerangan & Penerbitan

Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU)

Jabatan Perdana Menteri

Disediakan oleh : Webmaster
Tarikh : 29-11-2008
Hits : 1140